KONSEP PERNIAGAAN ISLAM UTAMAKAN KEBERKATAN

Masyarakat hari ini masih lagi mendapatkan perkhidmatan bomoh atau pawang. Bukan semua amalan perbomohan bertentangan akidah jika dilakukan ...

Masyarakat hari ini masih lagi mendapatkan perkhidmatan bomoh atau pawang. Bukan semua amalan perbomohan bertentangan akidah jika dilakukan mengikut batas ditentukan syarak, namun amalan perbomohan yang berasimilasi dengan kepercayaan khurafat masih lagi diterima oleh masyarakat.

Khususnya dalam dunia perniagaan dan kepercayaan seperti itulah yang boleh mencacatkan pegangan akidah Islam yang suci. Meskipun dalam dunia perniagaan moden hari ini, masih ada permintaan perkhidmatan pelaris bertujuan menarik pelanggan atau untuk mendapatkan keuntungan.

Peniaga yang mempraktikkan amalan sedemikian beranggapan perniagaan akan mendapat keuntungan lumayan dan aktiviti perniagaan mampu bertahan. Ada juga peniaga menggantung gambar tokoh di dinding kedai kononnya keramat pada tokoh itu akan menjadi pelaris untuk meningkatkan prestasi perniagaan.

Menjadi satu stigma dalam pemikiran pengusaha, perniagaan yang dijalankan tanpa mengambil pelaris sudah tentulah tidak akan maju dan kurang menarik perhatian pelanggan. Atas kepercayaan itulah maka peniaga memohon bantuan bomoh mendapatkan pelaris untuk memenuhi hajat mereka.

Bazir wang dapatkan pelaris

Pelbagai jampi serapah, azimat, tangkal dan sebagainya diberikan kepada peniaga dengan harapan perniagaan akan berjaya sebagaimana diimpikan. Akibatnya, peniaga sanggup menghabiskan wang ringgit semata-mata untuk mendapatkan pelaris.

Kepercayaan persoalan rezeki bergantung kepada semangat yang ada dalam pelaris seperti rajah, azimat, wafak, burung cenderawasih, minyak buluh perindu dan gambar orang salih bertentangan dengan falsafah akidah Islam yang murni.

Pelaris juga mengandungi pantang larang yang perlu dipatuhi penggunanya. Apabila wujudnya iktikad dalam diri seseorang sudah tentulah ia akan mengundang unsur yang membuka ruang kepada elemen syirik kepada Allah SWT.

Asas kepercayaan mengiktiraf dan memperakui wujudnya kuasa yang dapat mempengaruhi manusia selain daripada Allah SWT sudah tentulah diklasifikasi sebagai syirik. Peniaga yang menggunakan pelaris begitu yakin perniagaan akan mendapat tuah.

Bagi peniaga yang taksub kepada kepercayaan itu akan mencari helah supaya perbuatan mereka dipandang sebagai satu usaha atau ikhtiar dan tidak bercanggah dengan Islam. Mereka mempunyai kaedah dan taklik tertentu untuk mengalihkan pandangan masyarakat bagi menghalalkan perbuatan itu.

Salah guna nama Nabi, ayat al-Quran

Sesungguhnya matlamat tidak menghalalkan cara. Bagi menzahirkan tindakan itu halal, maka pelaris yang dibuat dikatakan diselawat dengan nama Nabi Muhammad SAW, dibacakan ayat daripada surah tertentu dalam al-Quran serta disabitkan dengan nama Allah SWT sebagai penentu kejayaan.

Hakikatnya, syaitan adalah pakar dalam melakukan penipuan terhadap manusia. Dia akan akan datang dengan pelbagai perancangan strategik yang licik bagi memperdayakan manusia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Barang siapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (al-Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya. Dan sesungguhnya syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk." (Surah al-Zukhruf, ayat 36-37)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah syaitan. Barang siapa yang mengikuti langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan keji dan mungkar." (Surah al-Nur, ayat 21)

Allah SWT adalah tempat manusia bergantung harapan dan memohon pertolongan. Setiap sesuatu yang direncanakan-Nya adalah untuk kebaikan agama dan kesejahteraan golongan yang beriman di dunia serta akhirat.

Sebagai seorang mukmin, kita perlu memikul tanggungjawab sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT dan Rasul melalui bimbingan wahyu. Hanya kepada Allah SWT tempat berserah dengan penuh tawaduk dan ikhlas.

Dalam al-Quran, Allah SWT mengungkapkan perkara misteri yang tidak diketahui oleh orang yang ingkar. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dan arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya, Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki-Nya). Sesungguhnya, Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." (Surah at-Talaq, ayat 2-3)

Patuh prinsip muamalah Islam

Islam bersikap positif terhadap kegiatan menjana aktiviti malah, Islam menggalakkan penganutnya berusaha secara tekun untuk memajukan kehidupan. Meskipun begitu, setiap transaksi urusan perniagaan yang dijalankan perlu mematuhi prinsip ditetapkan dalam muamalah Islam.

Perlakuan dan aktiviti yang bertentangan dengan kehendak syariat dan kemaslahatan manusia bukan prinsip murni perniagaan Islam. Perkara negatif seperti tipu, tidak amanah, mengamalkan riba, melakukan sesuatu yang bertentang prinsip akidah adalah ditegah dalam prinsip perniagaan Islam.

Ciri istimewa konsep perniagaan menurut acuan Islam berbeza dengan konsep perniagaan ditaja oleh akal fikiran manusia. Keuntungan dalam perniagaan Islam bukan hanya dinilai dari aspek material semata-mata tetapi yang menjadi keutamaan adalah mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT.

Peniaga dan usahawan Muslim terdahulu seperti Nabi Muhammad SAW, Khadijah binti Khuwailid, Saidina Uthman bin Affan, telah memberikan contoh terbaik untuk menjadi peniaga berjaya. Apa yang penting ialah bersikap amanah, bercakap benar, pengurusan yang baik dan memberikan perkhidmatan terbaik.

SUMBER : Penulis ialah pensyarah Pusat Teknologi dan Pembangunan Insan Universiti Malaysia Perlis

You Might Also Like

2 comments

ShopLinks

babab.net